Sunday, January 26, 2014

Kuantiti dan Kualiti amalanmu

Assalamualaikum ...

Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar


Saya baru sahaja menghabiskan beberapa helaian buku tulisan Ustaz Kazim Elias (Tuhan Sedang Menguji Kita). Dalam beberapa helaian itu, saya tertarik dengan salah satunya yang menyebut:


"Benar, Allah tidak sebut siapa yang paling banyak amalannya. Tapi Allah menyebut siapakah yang paling terbaik amalannya"


Sungguh ramai yang merasakan bahawa dengan amalan yang telah dilaksanakan sudah melambangkan beliau sebagai layak ke syurga. Alhamdulillah, semoga dengan amalan yang dilakukan itu dihisab sebaiknya. 


Namun, tidak salah rasanya, di hujung solat taubat di penghujung malam, dibekukan masa selama tiga minit untuk menilai kembali apa kualiti ibadat seharian kita hari ini. 


Adakah dengan percakapan kita hari ini menyakitkan hati kawan-kawan?


Adakah dengan sujud Zohor siang tadi, kita sebenarnya tidak khusyuk?


Adakah dengan RM10 yang dihulurkan pada MakCik tepi bank tadi bukanlah sadaqah tetapi riak semata-mata?


Adakah dengan puasa sunat tadi menjadikan kita lemah dan bukannya bersemangat waja?


Di mana letaknya titik kualiti itu jika di hujungnya kita hitung berapa banyak kebaikkan yang kita lakukan hari ini lantas kita merasa puas dan bangga. Tetapi yang dihisab adalah kualiti semata-mata. Mungkin, lebih berkualiti lagi seorang manusia yang hulurkan 50 sen kepada MakCik sedang dia amat perlu akan duit tersebut lalu hadir ikhlas di hatinya walau kuantitinya kecil. Mungkin lagi berkualiti seorang yang tidak puasa sunat pun tapi sujud solat Zohornya tadi adalah sujud dengan hadir rasa pengabdian seorang hamba pada Pencipta. Mungkin, lagi berkualiti rakan sekerja yang diam tidak berkata apa-apa, kerana diamnya adalah zikrullah atau menahan sabar dari bercakap perkara lagha. 


Mungkin, dan Allah itu Maha Mengetahui. 


Ya Allah, hadirkan kami rasa ikhlas dalam amalan kami. Tingkatkanlah rasa pengabdian kami kepadaMu. Sungguh kami manusia penuh dosa dan pada Kamu sahaja kami memohon pengampunan


-HambaMu-

No comments:

Post a Comment